Friday, May 18, 2012

Selamat Hari Guru

SELAMAT HARI GURU

guru-guru tetaplah guru yang dahulu
menjadi tua dalam waktu yang panjang
tetap menemui pelajarnya
yang membesar di rumah yang berlainan
tetap bersama rakan-rakan sekerja
yang separuh daripadanya telah tewas
dalam diri sendiri.
tetap di depan pandangan masyarakat
yang terlalu mengharapkan apa yang terbaik
daripada manusia guru
yang tetap bersama kelemahan diri.
lemah oleh waktu yang panjang
lemah oleh kenakalan pelajarnya
lemah oleh masyarakat
yang banyak bercakap tentang kesempurnaan.

guru-guru tetaplah guru yang dahulu
menjadi tua dalam panjang waktu dilaluinya
tetap di bilik
yang dikongsikan bersama
tanpa keselesaan yang sama
seperti dinikmati
rakan-rakan seuniversitinya yang dahulu.
tetap dipanggil guru
kalaupun hanya sekadar panggilan
dibezakan waktu yang mengurangi rasa hormat
kepada manusia guru.
guru tetaplah guru
di mana berada
di mana sahaja
tanpa mati dalam waktunya yang panjang.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Bentong, Darul Makmur
31 Mei 2004.

<http://kotapuisi.blogspot.com/2009/05/selamat-hari-guru.html>

No comments:

Post a Comment